Friday 13 November 2015

PERKONGSIAN UNTUNG DALAM MUDHARABAH


Kontrak Mudharabah ini adalah satu kontrak pelaburan di mana modal disumbangkan oleh satu pihak (sohibul mal atau pemberi modal) kepada satu pihak yang lain (mudharib atau pengusaha) untuk menjalankan satu-satu perniagaan dan akan berkongsi keuntungan daripada perniagaan tersebut sekiranya ada. Dalam prinsip asas mudharabah adalah pemberi modal bersedia mengambil risiko terhadap modal yang telah dilaburkannya. Sementara itu, mudharib pula terhadap masa dan tenaga yang akan dicurahkan dalam menjalankan aktiviti mudharabahnya. Oleh itu, kedua-dua pihak berhak untuk berkongsi keuntungan daripada kerjasama tersebut. Jika tidak untung, maka pemberi modal tidak dapat sebarang habuan dan mudharib pula tidak dapat upah bagi kerja-kerjanya.
Perkongsian untung ditetapkan berdasarkan nisbah yang dipersetujui bersama antara kedua belah pihak manakala kerugian akan ditanggung oleh pemberi modal jika kerugian tersebut bukan disebabkan kecuaian mudharib. Keuntungan (jika ada) akan dikongsi bersama setelah ditolak modal yang telah diberikan oleh pemodal. Pembahagian keuntungan perlu dipersetujui sebelum menjalankan perniagaan tersebut secara peratus atau ratio, bukannya jaminan secara sekali gus. Ini bermakna, pengusaha tidak boleh memberi jaminan terhadap modal. Seperti contoh, di dalam sesuatu pelaburan itu, seseorang pihak tidak boleh menjamin keuntungan secara tetap, ini kerana terdapat unsur-unsur haram seperti riba, gharar dan sebagainya. Jadi, kita sebagai umat Islam dilarang daripada terlibat dalam aktiviti pelaburan seperti ini. Selain daripada itu, mustahil bagi kita untuk menjamin keuntungan sedangkan untung dan rugi itu berlaku pada masa hadapan dan di luar jangkaan sesiapa.
Perkara ini, iaitu menjamin keuntungan telah diakui oleh Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan dimana sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap sebagaimana yang ditawarkan oleh beberapa syarikat pelaburan di dalam dan luar negara adalah haram kerana ianya mengandungi unsur riba dan gharar. Selain itu, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pula memutuskan di dalam urusniaga mudharabah, mudharib tidak dibenarkan menjamin liabiliti pihak lain yang berurusan dengannya di dalam urusniaga berasaskan kontrak mudharabah.

1 comment:

  1. apa maksud ayat last tu ye?
    "mudharib tidak dibenarkan menjamin liabiliti pihak lain yang berurusan dengannya di dalam urusniaga berasaskan kontrak mudharabah"
    mohon perkongsian dan percerahan.
    TQ

    ReplyDelete